Hampir kesekian lamanya saya tidak menulis dalam blog ini, justeru kesibukan tugas yang tidak pernah ada nokhtahnya. Namun saya tetap merasa puas atas tugas yang dipertangungjawab ini demi kecerian seorang manusia.
Meskipun kesibukan tugas ada sesekali ingatan masa silam datang menerjah dalam kotak fikiran. Apabila saya keluar ke pinggir desa kelihatan sawah padi yang menguning menunggu masa untuk dituai, warna keemasan yang disinari mentari petang dengan hembusan angin sepoi-sepoi bahasa menyelinap masuk keliang roma meredakan sedikit tekanan seharian.
Dikejauhan sana, padi menguning adalah hasil titisan peluh para petani. Kalau tanpa usaha mereka siapa lagi yang bisa menyuapkan nasi ke perut kita? lalu jasa petani amat besar buat diri kita.
Dahulu waktu zaman kanak-kanak saya selalu mengikut arwah ibu menuai pada dengan menggunakan peralatan yang diberi nama KETAMAN, tangkai demi tangkai arwah ibu memotongnya tanpa ada rasa jemu demi untuk membesarkan anak-anak. Pada waktu yang sama, saya selalu membawa anak ayam DIDIK saya untuk diberi makan padi yang tumpah bertaburan. Anak ayam saya girang kekenyangan.
Padi yang diketam kemudian dikat menjadi GEMAL kemudian dibawa balik kerumah disimpan didalam BALOH (Rumah padi) Apabila perlu padi itu akan di IRIK (dileraikan dari tangkai) kemudian ditampi di jemur kemudian dikisar dengan kisaran yang dibuat dari buluh . Selepas dikisar padi akan tumbuk pula dengan mengunakan lesung kaki untuk mendapatkan berasnya.
Nasi dari beras baru cukup wangi. Penduduk kampung dijemput kerumah untuk menikmati kenduri jamuan nasi dari beras baru.
Kini segala-galanya sudah berubah, padi tidak lagi diketam sebaliknya telah dituai dengan jentera moden. Dan padi tidak lagi disimpan didalam BALOH tetapi terus dimasukkan kedalam lori untuk terus dijual dikilang padi . Dan sekarang tiada lagi kenduri nasi beras baru sebaliknya padi tadi telah ditukar dengan beras Siam. Kemesraan bermasyarakat sudah makin lupus justeru peredaran masa yang semakin mendesak.
No comments:
Post a Comment