Saturday, October 18, 2008

Kecurian Kabel Telefon

Kecurian Kabel telefon milik Telekom Malaysia masih berlaku dengan amat ketara sekali. Kes terbaru berlaku pada hari rabu malam 8 Okt 2008 di sekitar Taman Bumi Emas, Banggol Chicha, Pasir Mas telah merugikan banyak pihak terutamanya pihak Telekom Malaysia terpaksa membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membaik pulih masalah tersebut.

Rata-rata para pelanggan terutama mereka yang menggunakan perkhidmatan tersebut amat kesal diatas kecurian kabel seperti ini. Seingat saya telah acap kali kecurian seperti ini berlaku di kawasan yang hampir sama.

Kami mengharapkan pihak berkuasa khusus pihak polis dan pihak Telekom Malaysia sendiri mengambil langkah-langh tertentu supaya masalah seperti ini dapat dibendung dengan seberapa segera. Dan hukuman paling berat keatas pengkhianat ini hendaklah digubal di Parlimen tanpa ada rasa kesian belas kepada pengkhianat ini.

Thursday, October 2, 2008

Salam Aidil fitri

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan salam aidilfitri buat semua pengunjung-pengunjung blog saya, saya memohon berbanyak-banyak kemaafan diatas segala kesilapan dan mungkin ada yang tersinggung lantaran hasil tulisan saya.

Juga salam aidilfitri kepada seluruh ahli keluarga, rakan taulan, sahabat handai yang berada dimana jua. Semoga semuanya bergembira dihari raya.
Maaf zahir batin.

Thursday, September 18, 2008

Syawal Akan Tiba

Hari ini hari ke 18 kita umat Islam menjalani ibadat puasa. Dan tidak lama lagi umat Islam akan meyambut bulan Syawal bulan untuk kita merayakan Hariraya Aidilfitri, setelah sebulan kita berpuasa.

Teringat saya pada zaman kanak-kanak dulu, saya dan mungkin kanak-kanak lain jua tidak sabar hendak menunggu kedatangan bulan Syawal kerana pada harirayalah kita berpeluang memakai baju baru dan dapat memakan ketupat daun palas yang disediakan oleh ibu-ibu kita. Bagi masyarakat Islam Kelantan sehari sebelum raya dipanggil Hari Buat Ketupat. Hari itu para ibu kita mula sibuk semenjak selepas sahur lagi dengan merendam beras pulut dan mengukur kelapa. Pada masa itu mesin kelapa belum ada lagi kerana bekalan elekterik belum lagi disalurkan kekampung-kampung.

Menjelang waktu berbuka barulah ketupat itu masak. Ketupat disediakan dalam dua jenis iatu ketupak manis dan ketupat lemak. Ketupat lemak dimakan bersama-sama gula melaka yang dicairkan(Manisan kata orang kelantan) Masa itu saya tidak pernah kenal, apatah nak merasai lemang mahupun rendang.

Kini segala-segalanya berubah. Anak-anak telah biasa dipakaikan dengan baju baru. Saban hari ibu bapa mereka pergi membelibelah dipasaraya-pasaraya. Tidak perlu lagi menunggu ketibaan hariraya untuk memakai pakaian baru.

Juadah hariraya juga turut berubah, surirumah tidak lagi membuat ketupat mereka menempah daripada orang-orang tertentu dengan harga yang agak mahal juga. Kini biskut dan kek menjadi hidangan dihari raya, justeru kanak-kanak zaman ini tidak lagi meminati ketupat, juadah hariraya nenek moyang kita dahulu. Dan kanak-kanak zaman ini sudah tidak suka bertandang kerumah jiran mahupun sanak saudara dihariraya kerana mereka lebih suka lepak di depan tv dengan menyaksikan program tv yang hebat-hebat.

Itulah nostalgia saya dizaman kanak-kanak dahulu.

Sunday, September 14, 2008

Ramadhan Bulan Penuh Barakah.

Hari ini hari ke 14 belas umat Islam di Malaysia menjalani ibadat puasa. Bulan Ramadhan bulan yang menuntut umat Islam banyak bersabar dalam mengawal hawa nafsu dan pembaziran. Umum sudah mengetahui bahawa sepanjang bulan ini Allah SWT memberi kerahmatan kepada umat Islam yang mengerjakan segala suruhannya.

Dalam pada itu ada segelintir antara kita masih melakukan pekerjaan syaitan iaitu yang suka pada pembaziran. Contohnya hampir setiap malam di kawasan kediaman saya masih terdengar dentuman mercun yang dibakar oleh mereka-mereka yang masih cetek pengentahuan agama tentang erti pembaziran. Dentuman mercun ini juga menganggu para jemaah yang sedang bersolat sunat Terawih.

Nampaknya usaha membenteras kemasukan mercun dan bunga api yang dilakukan oleh pihak berkuasa langsung tidak menampakkan sebarang hasil. Untuk itu kita sebagai ibu bapa harus melihat perkara ini dan mengambil berat dan turut mempastikan agar anak-anak jagaan kita tidak terlibat dalam kegiatan pembakaran mercun.

Sunday, August 31, 2008

Sambutan Hari Kemerdekaan Ke 51 Tahun Di Pasir Mas Hambar.

hari ini 31 Ogos 2008 merupakan Hari Ulangtahun Kemerdekaan negara yang ke 51 tahun. Saya salah seorang penduduk di Jajahan Pasir Mas, mendapati sambutan kali ini agak hambar berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Mungkinkah demi mengurangkan kos bajet bagi semua agensi kerajaan khusus kerajaan Tempatan menjadikan bandar Pasir Mas kelihatan tidak ceria,lesu, seolah-olah tidak ada apa-apa yang perlu diingati pada setiap kehadiran tarikh 31 Ogos, lantaran tidak ada satu pun Jalur Gemilang yang dikibarkan didalam bandar ini.

Diharapkan ditahun-tahun akan datang pihak berkenaan mengambil insiatif dengan mengibarkan Jalur Gemilang agar terus berkibar megah menjadi kebanggaan rakyat jelata!

Friday, August 29, 2008

Minyak Turun Tambang Bas Ekpress Pula Naik

Penurunan harga minyak baru-baru ini telah membolehkan rakyat jelata menarik nafas lega. Namun itu hanya bersifat sementara sahaja. Apa yang berlaku sekarang ialah kenaikan harga barang dan kenaikan harga tambang bas ekpress pada bulan September nanti amat mengejutkan. Sebagai contoh tambang bas ekpress dari Kota Bharu ke Kuantan sekarang ialah Rm26.00 untuk satu perjaalanan tetapi pada bulan september ini harga telah meningkat kepada Rm38.00.

Kenaikan yang amat tinggi ini amat membebankan pengguna terutamanya pelajar-pelajar IPTA ataupun IPTS yang selalu menggunakan pengangkutan Awam khususnya bas.

Semoga pihak berwajib mengambil perhatian atas masalah yang dikemukan ini. Dan rakyat jelata dapat menarik nafas lega semula.

Saturday, August 23, 2008

Penurunan Harga Minyak

Penurunan harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan semalam telah melegakan kebanyakan rakyat malaysia. Walaupun penurunannya antara 8 sen ke 22 sen sedikit sebanyak memberi nafas lega kepada rakyat jelata khususnya yang berpendapatan rendah.

Dengan penurunan harga minyak membolehkan rakyat mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi, sekaligus telah menjana ekonomi negara. Sektor ekonomi akn terus berkembang.

Harapan kami kepada pihak kerajaan supaya dapat mengambil inisiatif agar barangan pengguna turut diturunkan sejajar dengan harga minyak yang turun bermula pada hari ini.

Semoga kamakmuran akan terus dinikmati bersama.

Thursday, June 19, 2008

Mana Perginya Budi Bahasa Kita?.

Yang lorek itu kendi,
yang merah itu saga,
yang molek itu budi,
yang indah itu bahasa.

Itulah antara bait-bait pantun tinggalan nenek moyang kita yang mencerminkan pada kita betapa orang melayu kaya dengan budi bahasa.

Namun semenjak akhir-akhir ini nilai-nila budi telah semakin lenyap. Antara jiran tetangga sudah tidak bertegur sapa. Apatah untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain. Kerana masing-masing antara kita sibuk dengan kewajipan duniawi. Kita asyik mengejar kebendaan serta kemewahan hidup hingga kita terlupa akan semangat kejiranan. Hulur menghulur juadah kuih muih sepertimana yang pernah dilakukan oleh nenek moyang kita pada setiap kali datangnya bulan Ramadhan sudah tidak diamalkan lagi didalam masyarakat kita hari ini.

Amalan ziarah menziarahi pada hari raya sudah tidak diamalkan lagi. Untuk membawa anak-anak kita menzirahi saudara mara bagi mendekatkan lagi hubungan kekeluargaan amat sukar sekali kerana anak-anak kita lebih suka duduk terperuk di rumah menonton siaran TV yang beraneka jenis siarannya dihari raya.

Lalu siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini?

Wednesday, June 18, 2008

Sekadar Pandangan Peribadi.......

Kenaikkan harga minyak telah meresahkan keseluruhan penduduk dunia termasuklah Malaysia. Rata-rata penduduk negara ini yang berpendapatan kecil amat terasa bahana kenaikan bahanapi itu. Sekali gus telah menyebabkan harga barangan melonjak naik tanpa dapat dikawal oleh pihak kerajaan. Kenaikan yang mendadak dari segi bahan makanan mahupun perkhidmatan seolah-olah kerajaan telah tidak berupaya untuk mengawalnya.

Kos sara hidup yang semakin tinggi telah menimbulkan beberapa impak dalam kehidupan maupun masyarakat. Kini kehidupan seharian sudah tidak lagi selesa. Berbelanja secara berhemah itu saranan pihak kerajaan! tetapi bagaimana hendak berbelanja secara berhemah? kiranya segala kos keperluan harian menjadi semakin tinggi!

Atas desakan hidup hari ini memungkinkan boleh mencetuskan gejala sosial seperti ragut, samun, rasuah dan penipuan dan berbagai lagi gejala demi untuk mendapatkan pendapatan yang lebih dalam menangani isu kenaikan harga barangan mahupun perkhidmatan

Negara kita Malaysia, merupakan negara pengeluar komoditi dunia seperti getah, sawit dan timah. Apa salahnya negara kita Malaysia, bersepakat dengan negara-negara pengeluar getah,sawit dan timah yang lain, untuk meletakkan harga yang lebih tinggi ataupun setaraf dengan harga minyak dunia.! Kalau perkara ini benar-benar kita praktikkan mungkin rakyat negara ini akan turut merasai kemewahan hidup lantaran keuntungan hasil dagangan komoditi tersebut.

…………..sekadar pendapat saya.

Sunday, May 25, 2008

KAMPUNG BANGGOL GAJAH MATI, 17000, PASIR MAS, KELANTAN.


Peta Negeri Kelantan Darul Naim.


Sawah terbiar di Kg. Banggol Gajah Mati.

Taliar di Kg. Banggol Gajah Mati, tidak diselenggarakan dengan sebaiknya oleh KADA

Pandangan Kg. Banggol Gajah Mati (Arah Selatan)

Pandangan Kg. Banggol Gajah Mati (Arah Timur)

1. SEJARAH PENEMUAN.

Mengikut cerita lagenda dari orang tua-tua yang di lahirkan dan tinggal menetap di Kg. Banggol Gajah, Pasir Mas, Kelantan. Kisahnya bermula, apabila datuk nenek mereka mula meneroka kampung ini, Dua orang bersaudara iaitu Tok Salleh dan Tok Mek Yam. Mereka telah menemui bangkai seekor gajah yang telah mati akibat disengat tebuan tanah. Mengikut cerita kononnya, gajah tersebut adalah milik seorang pemburu yang datang memburu di kampung ini yang pada mulanya kampung ini merupakan sebuah hutan belantara yang sangat tebal.

Para peneroka kampung ini mendapati sekumpulan ikan-ikan limbat telah naik kedarat untuk makan bangkai gajah tersebut. Ikan-ikan limbat tersebut datang dari sebuah alur (tasek) jaraknya dari kampung ini kira-kira 1.5km. Alur tersebut kini dinamakan ALUR LIMBAT mengambil sempena dengan peristiwa itu.

Para peneroka telah bersepakat untuk membuka hutan belantara ini untuk dijadikan sebuah kampung halaman dan bersetuju untuk menamakan kampung ini sebagai Kampung Banggol Gajah Mati. Banggol bererti Tanah Tinggi.

2. LOKASI.

Kampung Banggol Gajah Mati, terletak didalam Jajahan Pasir Mas yang mana ianya dibawah Pentadbiran Pejabat Daerah Pasir Mas, Kelantan. Kampung ini terletak dipinggir Jalan Rantau Panjang Lama. Jaraknya daripada Bandar Pasir Mas adalah sejauh 6.5km. Manakala jaraknya dari Pekan Rantau Panjang adalah sejauh 18km.

Kampung ini terletak dalam Mukim Gajah Mati, meliputi kampung-kampung seperti Kg. Banggol Ara, Kg. Banggol Petaling, Kg. Pak Sek dan Kg. Raja.

Mukim Gajah Mati, diketuai oleh seorang Penyelia Pembangunan Mukim iaitu Tn. Hj. Mat Yusoff Samah.

Keluasan kampung ini adalah 3.2km persegi.

3. PENDUDUK.

Jumlah penduduk lebih kurang 500 orang. Bilangan rumah didalam kampung ini adalah berjumlah 103 buah rumah termasuk rumah kedai dan masjid. Kesluruhan penduduk disini adalah berketurunan melayu dan beragama Islam. Hanya seorang sahaja penduduk yang berketurunan cina muslim.

Sebahagian besar penduduk dikampung ini adalah terdiri daripada para petani, yang mana kegiatan harian mereka adalah tertumpu pada penanaman padi. Cuma 2% sahaja yang terlibat dalam bidang penanaman getah.

Selebihnya penduduk disini berkerja sebagai kakitangan kerajaan dan swasta, peniaga peruncitan,tukang jahit,buruh kasar, pemandu kereta sewa, mekanik kereta motor dan ada yang berkerja menyemat daun rumbia untuk di jadikan atap. Selain daripada itu ada juga yang memelihara lembu, kerbau, kambing,menternakan ikan air tawar, bagaimanapun jumlahnya agak terhad.

4. KEMUDAHAN ASAS.

Terdapat sebuah Masjid disini tetapi bukan untuk solat Jumaat. Terdapat juga sebuah Balairaya, 3 buah kedai runcit, 3 buah kedai kopi, juga terdapat sebuah kedai menjual alat ganti motorsikal. Terdapat juga sebuah bengkel pembuatan Kraftangan Perak. Juga terdapat sebuah telefon awam dikampung ini.

Disini juga terdapat sebatang taliair KADA yang dibina pada tahun 1963 untuk tujuan pengairan air ke petak-petak sawah. Namun, hari ini keadaan taliair tersebut agak terbiar tanpa ada sebarang penyeleggaraan daripada pihak KADA menyebabkan taliair tersebut dipenuhi pokok-pokok kangkung air, kiambang dan juga pokok teratai.

5.TARAF PENDIDIKAN.

Walaupun tidak adalah bangunan sekolah dikampong ini namun penduduk-penduduk disini berpeluang mendapat pendidikan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan. Proses pendidikan awal kanak-kanak dikampong ini bermula di Sekolah Kebangsaan Banggol Chicha yang terletak kira-kira 2km daripada kampong ini. Rata-rata generasi baru peduduk-penduduk kampung ini mendapat pendidikan di IPTA dan IPTS. Kini mereka telah mendapat pekerjaan yang amat bagus bersesuaian dengan ilmu yang ada pada diri masing-masing.

6. EKONOMI.

Hasil produktiviti kampung ini adalah pengeluaran padi, manakala penghasilan getah hanya 1% sahaja. Industri Kecil Sederhana langsung tidak ada, kerana sebahagian besar penduduk kampung ini adalah makan gaji.

7. SENI DAN BUDAYA.

Tiada sebarang bentuk seni dan budaya terdapat dalam kampong ini. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat darah-darah seni ujud didalam tubuh penduduk-penduduk di kampung ini. Tetapi kerana anutan agama yang kuat dikalangan penduduk kampung ini maka segala aktiviti seni dan budaya terpaksa di pinngirkan.

8. POLITIK.

Politik perpecahan telah berlaku dikampung ini akibat percaturan politik semasa. Telah wujud jurang perpecahan dikalangan penduduk-penduduk kampung in hingga kini, walaupun dari segi sasilah keturunan mereka adalah dari satu darah. Iaitu darah keturunan Tok Salleh dan Tok Mek Yam. (Peneroka Kampung ini) Oleh kerana terlalu taksub pada sesebuah parti itu maka berlakulah perpecahan antara mereka. Majlis kenduri kendara, sakit deman, adalah hal masing-masing.

PENUTUP.

Dengan paparan ini, sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada anak cucu supaya mengenali sejarah setempat.

Mohon pertimbangan daripada pihak kerajaan untuk membina sekolah, klinik, Pusat sumber ICT juga dapat menyediakan kemudahan prasarana serta mengujudkan pengusaha-pengusaha IKS (Industri Kecil Sederhana) bagi mempertingkatkan pandapatan ekonomi penduduk-penduduk kampung ini.

Juga diharapkan supaya pihak kerajaan dapat mengadakan program-program yang dapat menyatukan semula hubungan silaratulrahim dikalangan penduduk kampng ini, agar meraka dapat hidup dalam situasi yang cukup harmoni,kemersraan sesame mereka dan sama-sama membangunkan Kampung Banggol Gajah Mati sejajar dengan konsep Negara maju menjelang 2020

Sumber Rujukan:

Tn. Hj.Mat Yusoff Samah, Penyelia Pembangunan Mukim Gajah Mati.

Allahyarham Tok Penghulu Saamah Omar, Bekas Penghulu Mukim Gajah mati.


Hasil Kajian sendiri.

Sunday, May 18, 2008

Salam Perkenalan Buat Semua



Isteri dan anak bongsu tersayang



Sebuah Penantian



Potretku

Kami ada menyediakan perhidmatan Soundsystem & DJ, untuk majlis-majlis resmi seperti Ceramah, Majlis Perkahwinan, Sukan dan Keramaian. Kami juga merakamkan majlis-majlis seperti dinyatakan ke bentuk DVD dan VCD.
Kami juga menerima tempahan untuk memindahkan rakaman VHS kebentuk DVD atau VCD. Rakaman photo Still juga disediakan untuk majlis-majlis perkahwinan.Kadar upah kami kenakan adalah berpatutan dan boleh dirundingkan.Kepada yang berminat sila hubungi talian berikut:
019 9572401
09 7903063
e-mail gftvsb@yahoo.com