Thursday, September 18, 2008

Syawal Akan Tiba

Hari ini hari ke 18 kita umat Islam menjalani ibadat puasa. Dan tidak lama lagi umat Islam akan meyambut bulan Syawal bulan untuk kita merayakan Hariraya Aidilfitri, setelah sebulan kita berpuasa.

Teringat saya pada zaman kanak-kanak dulu, saya dan mungkin kanak-kanak lain jua tidak sabar hendak menunggu kedatangan bulan Syawal kerana pada harirayalah kita berpeluang memakai baju baru dan dapat memakan ketupat daun palas yang disediakan oleh ibu-ibu kita. Bagi masyarakat Islam Kelantan sehari sebelum raya dipanggil Hari Buat Ketupat. Hari itu para ibu kita mula sibuk semenjak selepas sahur lagi dengan merendam beras pulut dan mengukur kelapa. Pada masa itu mesin kelapa belum ada lagi kerana bekalan elekterik belum lagi disalurkan kekampung-kampung.

Menjelang waktu berbuka barulah ketupat itu masak. Ketupat disediakan dalam dua jenis iatu ketupak manis dan ketupat lemak. Ketupat lemak dimakan bersama-sama gula melaka yang dicairkan(Manisan kata orang kelantan) Masa itu saya tidak pernah kenal, apatah nak merasai lemang mahupun rendang.

Kini segala-segalanya berubah. Anak-anak telah biasa dipakaikan dengan baju baru. Saban hari ibu bapa mereka pergi membelibelah dipasaraya-pasaraya. Tidak perlu lagi menunggu ketibaan hariraya untuk memakai pakaian baru.

Juadah hariraya juga turut berubah, surirumah tidak lagi membuat ketupat mereka menempah daripada orang-orang tertentu dengan harga yang agak mahal juga. Kini biskut dan kek menjadi hidangan dihari raya, justeru kanak-kanak zaman ini tidak lagi meminati ketupat, juadah hariraya nenek moyang kita dahulu. Dan kanak-kanak zaman ini sudah tidak suka bertandang kerumah jiran mahupun sanak saudara dihariraya kerana mereka lebih suka lepak di depan tv dengan menyaksikan program tv yang hebat-hebat.

Itulah nostalgia saya dizaman kanak-kanak dahulu.

Sunday, September 14, 2008

Ramadhan Bulan Penuh Barakah.

Hari ini hari ke 14 belas umat Islam di Malaysia menjalani ibadat puasa. Bulan Ramadhan bulan yang menuntut umat Islam banyak bersabar dalam mengawal hawa nafsu dan pembaziran. Umum sudah mengetahui bahawa sepanjang bulan ini Allah SWT memberi kerahmatan kepada umat Islam yang mengerjakan segala suruhannya.

Dalam pada itu ada segelintir antara kita masih melakukan pekerjaan syaitan iaitu yang suka pada pembaziran. Contohnya hampir setiap malam di kawasan kediaman saya masih terdengar dentuman mercun yang dibakar oleh mereka-mereka yang masih cetek pengentahuan agama tentang erti pembaziran. Dentuman mercun ini juga menganggu para jemaah yang sedang bersolat sunat Terawih.

Nampaknya usaha membenteras kemasukan mercun dan bunga api yang dilakukan oleh pihak berkuasa langsung tidak menampakkan sebarang hasil. Untuk itu kita sebagai ibu bapa harus melihat perkara ini dan mengambil berat dan turut mempastikan agar anak-anak jagaan kita tidak terlibat dalam kegiatan pembakaran mercun.