Wednesday, September 28, 2011

Tangan adik terkapai-kapai

Antara kisah sedih dan menyayat hati dapat saya paparkan kepada anda semua.
YAN: “Saya hanya nampak dia tenggelam timbul sambil tangannya terkapai-kapai. Saya cuba untuk membantu, tetapi tak berani kerana tali air itu dalam,” kata Muhammad Farhan Zamri, 10, abang kepada Muhammad Fardinie, 5, yang lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di Kampung Sungai Lintang, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Muhammad Fardinie tergelincir ke dalam tali air sedalam hampir dua meter itu ketika melihat Muhammad Farhan bersama dua rakannya memancing di tali air terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

Muhammad Farhan ketika ditemui berkata, sebelum kejadian dia nampak adiknya itu menaiki basikal dan berhenti di atas titi konkrit tidak jauh dari tempat dia memancing.

“Ketika menghentikan basikalnya, Muhammad Fardinie cuba meletakkan kakinya di atas tebing titi konkrit itu, tetapi gagal menyebabkan dia tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air itu beserta sekali dengan basikalnya.

“Saya hanya nampak tangannya terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus yang agak deras ketika itu. Saya yang panik terus berlari ke rumah meminta bantuan,” katanya.


Nenek mangsa, Halimah Din, 68, berkata, sebaik diberitahu cucunya itu terjatuh ke dalam tali air, dia bergegas ke tempat kejadian dan terus terjun dan menyelam mencari cucunya itu.

Katanya, dia menyelam beberapa kali tetapi tetap gagal menemui Muhammad Fardinie kecuali selipar milik cucunya itu.

“Waktu itu hati saya terdetik mengatakan dia sudah tiada, tetapi walaupun sudah tiada kudrat, saya nekad menyelam lagi. Dalam masa yang sama saya turut meminta bantuan penduduk kampung yang melalui kawasan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Halimah berkata, mayat Muhammad Fardinie yang juga murid prasekolah Sekolah Kebangsaan Ulu Sedaka, di sini, itu hanya ditemui penduduk kampung yang melakukan gerakan mencari kira-kira jam 6.15 petang semalam, 30 meter dari tempat dia terjatuh.

Mayat mangsa dibawa polis ke Hospital Yan, di sini.


Sementara itu, ibu mangsa, Saridah Harun, 36, berkata, anak ketiganya itu meminta kebenaran untuk melihat abangnya memancing kira-kira jam 5 petang. “Hampir jam 6 petang, kedua-dua anak saya masih tidak pulang dan ketika itu secara kebetulan seorang rakan Muhammad Farhan lalu di depan rumah dan saya memintanya memanggil dua beradik itu pulang.


“Namun, tidak sampai 10 minit, dia kembali ke rumah memberitahu Muhammad Fardinie terjatuh dalam tali air. Saya yang terkejut bergegas ke sana bersama ibu (Halimah),” katanya. Saridah berkata, sejak Aidilfitri lalu Muhammad Fardinie sudah menunjukkan perubahan sikap apabila dia kerap bersendirian dan bersikap tidak acuh berbanding sikap sebenarnya yang periang.


“Paling ketara ialah ketika saya menghantarnya ke sekolah Ahad lalu. Selepas turun dari motosikal dia tidak bersalam dengan saya seperti biasa, sebaliknya khusyuk memerhatikan sekolahnya sambil bertanya sama ada dia pernah bersekolah di situ atau tidak.


“Malah, dia juga menyatakan hasratnya untuk bercuti sekolah selama sebulan,” katanya.


Jenazah Muhammad Fardinie dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Thohiriah, Kampung Kubang Lintang pagi semalam.


No comments: