Friday, October 8, 2010

PETUA ORANG ORANG TUA.

Ini adalah himpunan petua orang orang tua yang cukup berguna untuk kehidupan anda. Kebanyakan nya berkisar mengenai apa yang anda buat di dapur.

Hilangkan Pahit Sayur Peria

Peria memang pahit. Kalau hendak menghilangkan pahitnya, potong peria dan rendam didalam air berisi garam halus. Setelah lebih kurang 25 minit, sejat dan masaklah peria tadi. Insya’allah, mesti berkesan.

Cara Masak Air Dengan Cepat

Kadang-kadang kita terlupa memasak air. Oleh itu untuk memasak air dengan lebih cepat masukkan satu sudu besi bersih yang kecil di dalam cerek bersama air kemudian masak. Mungkin air anda akan masak dengan lebih cepat. Selamat mencuba.

Cara Masak Air Cepat Dengan Gula

Tiba-tiba rumah anda dikunjungi tetamu tetapi ia mahu segera berangkat pulang kerana ada sesuatu hal yang mustahak, sedangkan dia meminta sedikit minuman, bila dibuka tarmus air anda kecewa kerana air panas telah kehabisan. Jika anda dalam keadaan demikian jangan cepat panik, anda bukalah api dapur, ambil sedikit air sejuk dan jerangkan, untuk cepatkan lagi ia mendidih masukkan beberapa sudu gula mengikut kadar air tadi. Kerana air yang dicampurkan dengan gula akan lebih cepat mendidihnya dari keadaan biasa. Disamping itu anda juga akan merasa lebih mudah apabila ingin membancuh minuman tidak perlu lagi dimasukkan gula. Selamat mencuba.

Cara Cuci Bersih Sayuran Dari Kekotoran Dan Ulat

Walaupun kita biasanya berhati-hati ketika mencuci sayuran, khususnya sayuran berdaun hijau kita biasanya merasa bimbang dikhuatiri masih ada telur-telur bahkan ulat-ulat terdapat bersarang dibelakangnya yang tidak kita lihat. Rasa bimbang itu menyebabkan kita mengambil masa yang panjang untuk mencuci sayur dan sudah pasti akan menggunakan air yang banyak. Disini saya syorkan anda mengikuti cara ini yang dirasakan pasti anda tidak akan lagi merasa bimbang atau khuatir, terutama jika memakan sayuran yang berupa ulam, termasuklah ulam raja, mahupun kangkong serta bayam. Caranya mudah aja, setelah anda bersihkan sayuran tadi dengan air sepintas lalu, lalu anda rendamkan sayur tadi sehingga tenggelam dengan air dalam sebuah mangkuk besen yang semuatnya. Kemudian anda masuklah garam dan cuka.Biarkan beberapa ketika sayuran tadi terendam, Hasilnya anda pasti mendapati kekotoran keluar dari sayuran tadi termasuk ulat-ulat, kutu dan sebagainya. Ulat-ulat tadi terlepas dari daun dan ini akan memudahkan lagi untuk anda mencucinya dan anda tidak perlu bimbang lagi.

Kekalkan Warna Hijau Sayur-sayuran

Mudah saja, masukkan sedikit gula apabila memasak sayur hijau seperti sawi, bayam dan lain-lain.

Hilangkan Bau Dalam Peti Sejuk

Ambil beberapa helai daun pandan, masukkan ke dalam peti sejuk (bukan di dalam freezer). Biasanya tiada bau yang tidak disenangi lagi. Selamat mencuba.

Atasi Masalah Tangan Pijar Kerana Cili

Mungkin ada antara anda yang tidak tertahan dengan pijar cili khususnya jika terpaksa memegang cili untuk ditumbuk atau sebagainya, tambah-tambah lagi jika digiling. Rasa panas atau pijar ini boleh diatasi segera dengan menyapukan sedikit garam ataupun minyak kelapa sekelilingnya dan dekatkan pada bahagian api. Memang mulanya anda terasakan begitu panas bagaikan terbakar. Tetapi akhirnya pasti akan segera hilang. Sudah itu barulah dicuci dengan sabun dan air bersih.

Atasi Masalah Hanyir Ikan, Ayam & Daging

Semasa hendak membasuh ikan, ayam atau daging, campurkan segenggam tepung gandum, biarkan seketika. Selepas itu basuh dengan air bersih. Insya’allah. Selamat mencuba.

Cara Hilangkan Hanyir Ikan

Ikan terutamanya haruan dicampurkan dengan air asam jawa pekat. Kemudian rendamkan selama 1 jam. Akhir sekali basuh dengan air biasa.

Hilangkan Hanyir Ikan & Makanan Laut

Ikan yang telah dipotong hendaklah diperam dengan tepung gandum lebih 10 minit sebelum dimasak. Biar seluruh hirisan atau badan ikan tadi dibaluti tepung gandum. Saya rasakan petua ini lebih mujarab daripada memeram dengan air asam jawa.

Agar Daging Cepat Empuk

Untuk mendapatkan daging yang mudah empuk dan menjimatkan masa, anda hanya perlu meletakkan beberapa helai daun nangka ke dalam masakan anda.

Cara Kurangkan Kemasinan Gulai

Biasanya anda akan merasa risau jika gulai yang dimasukkan terlalu masin. Untuk menghilangkan rasa masin itu anda bolehlah ikut petua ini. Ambil hampas kelapa yang anda telah gunakan dan masukkan kedalam kain dan ikat kuat-kuat. Kemudian masukkan hampas yang berikat ini kedalam periuk yang berisi
gulai, biarkan beberapa minit sebelum diangkat.

Cara Membersihkan Kerang

Rendam kerang di dalam air. Kemudian ambil pelepah daun pisang. Buangkan daunnya sahaja. Potong pelepahnya halus-halus dan diramas-ramas dengan kerang. Kulit kerang tadi akan bersih dan putih.

Cara Atasi Hamis Pada Kuali

Setelah digunakan, seperti menggoreng ikan atau telur, kuali anda berbau hamis. Oleh kerana selalu digunakan kuali anda didapati sukar hendak menghilangkan baunya. Untuk mengatasinya, ambil limau nipis, gosoklah merata-rata setiap kali habis menggoreng. Kuali anda tidak berbau lagi.

Cara Tanggalkan Kesan Kopi, Teh dan Darah

Kesan-kesan teh, kopi atau koko yang terkena pada pakaian boleh dihilangkan dengan menyiramkan air yang mendidih ketempat terdapat kesan-kesan itu. Sekiranya masih terdapat kesan-kesan itu maka hendaklah ditampal dengan serbuk pencuci yang dilekatkan dengan air dikawasan itu. Biarkan begitu selama satu jam sebelum dicuci. Bagi menanggalkan kesan darah pada pakaian, rendamkan pakaian dalam air biasa (sejuk) yang berisi garam. Rendamlah hingga kesan itu tanggal. (1 sudu makan garam – 1 pain air).

Agar Kulit Telur Lekang Dengan Mudah

Biasanya telur ayam itik yang baru saja dipungut dari reban (telur baru) begitu sukar hendak kita tanggalkan kulitnya selepas direbus. Kulitnya tidak mudah lekang. Jika dicuba juga menanggalkan kulitnya, isi telur akan menjadi rosak. Jika anda gemarkan kecantikan isinya, mungkin untuk hiasan dalam masakan di majlis tertentu cubalah amalkan petua ini.Sebelum merebus, bersihkan telur-telur itu. Ketika air mendidih, masukkan sedikit garam dan kemudian tutup rapat-rapat. Setelah rebusan cukup masak, kupaskan telur-telur tadi. Hasilnya, kulit-kulit telur amat mudah ditanggalkan.

Menghapuskan Bena Sayuran

Cara untuk menghapuskan bena yang biasanya terdapat pada sayuran seperti bayam, daun geti dan daun asin-asin (cekur) ialah dengan merendam sayuran tadi kedalam air beras sebelum ia disiang.

Kurangkan Kemasinan Ikan Asin / Kering

Caranya dengan merendamkan ikan kering dengan sabut buah kelapa. Rendam selama 2 jam kemudian basuh dan jemurkan di tengah panas.

Cara Elak Semut Memasuki Bekas Gula

Untuk mengelakkan gula daripada dimasuki semut bubuhlah diantara 3 atau 4 biji bunga cengkih kedalam gula itu. Bunga cengkih ini juga akan memberikan keharuman kepada gula itu.

Meratakan Garam Pada Kerepek

Terdapat pelbagai jenis kerepek yang mudah dibuat sekarang ini. Walau bagaimanapun kadang-kadang terjadi kerepek yang tidak rata garamnya. Untuk memudahkan garam rata pada semua kerepek yang digoreng, masukkan air garam pada minyak panas ketika sedang menggoreng kerepek. Cara ini bukan sahaja menjimatkan penggunaan garam malah kerepek anda tidak akan lagi terasa terkurang atau terlebih masin.

Cara Membuat Roti Canai Lembut – Versi 1

Kebanyakan suri rumah mendapati agak sukar untuk membuat roti canai yang lembut seperti yang didapati dikedai-kedai mamak. Dengan mencuba petua ini puan-puan tidak perlu bimbang lagi. Ketika puan-puan mahu membuat adunan elok dicampur dengan sedikit air kelapa kemudian baru diuli seperti biasa.

Cara Membuat Roti Canai Lembut – Versi 2

Ini Pengalaman Saya sendiri. Roti canai kalau nak lembut, pastikan semasa hendak membakar roti canai kuali haruslah cukup panasnya. Kalau kuali cukup panas dan adunan cukup sebati, roti canai anda pasti lembut. Kuali tak cukup panas tak payah cakap handal macamana pun roti canai tetap keras.

Menghilangkan Kesan / Kerak Susu Dalam Botol

Selain dari menggunakan berus, untuk menghilang kesan-kesan susu yang tertinggal didalam botol selepas anak-anak puan-puan menghisapnya, atau puan-puan merebusnya di dalam air panas, ini ada satu cara yang baik. Jika hendakkan kesan susu itu segera hilang. Ambil garam makan yang kasar 1 camca teh, dan masukkan dalam botol, tuangkan air, tutup botolnya goncangkan botol itu. Insya’allah akan bersih dan segera, lebih baik lagi, kalau dituangkan air panas, kuman-kumannya pun mati.

Merangupkan Acar Mentimun

Hirisan mentimun hendaklah direbus dalam air garam hampir setengah jam sebelum campuran bahan lain seperti lobak dan bawang dicampur bersama air gula dan cuka secukup rasa.

Agar Getah Pisang Tidak Melekat Pada Tangan

Selalunya getah akan melekat-lekat pada kedua belah tangan anda jika anda mengupas kulit pisang muda tanpa menggunakan petua atau cara tertentu. Sebelum mengupas kulit pisang muda. Sediakan sebesen air yang telah dilarutkan dengan garam. Masukkan pisang muda yang hendak dikupas kedalam besen. Dengan menggunakan kedua belah tangan anda, kupaslah kulit pisang tersebut tatkala ia masih didalam air garam. InsyaAllah dengan cara ini, getah pisang tidak akan melekat-lekat pada kedua belah tangan anda.

Cara Elak Jag Kaca Pecah Kerana Minuman Panas

Menghidang minuman panas di dalam jag kaca tampak lebih menarik selera anda. Bagi mengelakkan jag itu pecah akibat suhu kepanasan air, ambil sebatang sudu logam dan masukkan ke dalam jag. Tuangkan air panas dan jangan kuatir kerana haba yang dibebaskan akan diserap oleh sudu logam tersebut. Insya’allah. Selamat mencuba!

Agar Buah Epal Tidak Berubah Warna Setelah Dikupas

Setiap kali anda memotong buah epal untuk dihidangkan kepada tetamu atau kepada anak-anak suatu perkara yang sering memeningkan kepala anda ialah kelihatan epal tersebut yang bertukar warnanya menjadi ke coklat-coklatan. Ada satu cara untuk anda mengelakkan epal tadi supaya tidak bertukar warna sebaliknya menjadi lebih menarik untuk dihidangkan, caranya amat mudah sekali iaitu setiap kali selepas mengupas atau memotongnya anda rendamlah ia terlebih dahulu dalam air garam. Biarkan hirisan atau potongan epal ini terendam seketika sebelum diangkat untuk dihidangkan. Cubalah anda pasti tidak akan kecewa.

Hilangkan Bau Nasi Hangit

Kebiasaannya nasi yang hangit kurang sedap dimakan. Untuk menghilang bau hangit itu letakkan dua tangkai lada kering ke dalam periuk dan panaskan sekejap selama dua minit. Insya’allah bau hangit akan hilang.

Supaya Ayam Cepat Empuk

Bagi anda yang masak menggunakan ayam pekan ataupun ayam pasar mengikut istilah orang-orang sekarang tentulah anda tidak menghadapi masalah ayam yang keras dan tidak mudah dimakan. Tetapi bagi anda yang menggunakan ayam kampung ataupun ayam yang anda pelihara sendiri, masalah ayam keras, liat dan sukar dimakan memang menjadi masalah. Bagaimana pun dibawah ini diperturunkan beberapa cara yang dirasakan sesuai untuk anda jadikan panduan untuk melembutkan daging ayam kampung tadi. Caranya ambil daun pepaya secukupnya lalu bungkuslah ayam yang sudah disiang dan dicuci tadi sambil diramas-ramas dan didiamkan beberapa ketika sebaik-baiknya 15 minit. Setelah itu daun papaya tadi diambil dan dibuang serta dibersihkan ayam itu. Setelah bersih barulah boleh dimasak mengikut resepi yang anda rasakan sesuai. Biasanya ayam yang terkena getah betik atau papaya tadi akan cepat lembut setelah dimasak.

Agar Peti Sejuk Tidak Berbau

Letakkan seketul kayu arang yang belum dibakar didalam bekas dan letakkan di dalam peti sejuk. Insya Allah peti sejuk tidak akan berbau. Bila hendak memakan nenas kulitnya jangan dibuang malah boleh diletakkan di dalam peti sejuk juga untuk menyingkirkan bau yang kurang menyenangkan.

Agar Tauge Segar Selalu

Untuk menjadikan tauge segar walaupun disimpan beberapa lama, masukkan tauge yang dibeli ke dalam air yang dicampur sedikit garam kemudian simpan di dalam peti sejuk. Insya’allah tauge akan segar dan tidak masam.

Agar Kacang Hijau Cepat Empuk

Biasanya untuk merebus kacang hijau hingga empuk kita memerlukan masa yang panjang. Bila saja kacang hijau dijerang, masukkan satu camca kecil minyak masak dan satu camca kecil garam.

Elakkan Terung Menjadi Hitam Apabila Sudah Dipotong

Pada mereka yang gemar makan masakan terung, apa yang menjadi masalah ialah apabila kita sudah memotong terung ini dan lambat memasaknya pasti terung itu akan menjadi hitam. Untuk mengelakkannya, ambil garam dengan sedikit air dan rendamlah terung tersebut. Kalau tak mahu air, gunakan garam saja pun boleh.

Atasi Nasi Mentah

Untuk mengatasi masalah nasi mentah, apa yang anda harus lakukan ialah dengan merenjiskan sedikit air yang telah bercampur garam ke atas nasi tersebut. Kemudian nasi itu dibalik-balikkan dan tutup hingga nasi itu berwap.

SELAMAT MENCUBA. INSYAALLAH MENJADI.


Possibly related posts: (automatically generated)

No comments: