Teringat dimasa zaman kanak-kanak apabila tibanya bulan Ramadhan ianya amat dinanti-nantikan . Bermula masa bersahur, arwah ibu selalu bangun seawal jam 2.00 pagi untuk bertanak nasi. Bunyi bedok dimadrasah dipalu mengikut kiraan jam. Sekiranya waktu jam menunjukkan jam 3.00 pagi maka beduk akan dipalu sebanyak tiga kali. Zaman itu mana ada jam kecuali dikalangan orang yang berada sahaja yang memiliki jam dinding.
Jam 3.00 pagi ibu mengejutkan kami dari tidur yang cukup lena waktu itu.Dikeheningan pagi yang cukup mendinginkan dalam keadaan mata yang masih tertutup saya bangun menuju ke tempayan air untuk membasuh muka. Dan keadaan yang masih mengantuk saya menyuap nasi kerana keterpaksaan sebagai bekalan untuk menahan lapar dan dahaga sepanjang hari esuk kerana berpuasa.
Semasa balik dari sekolah yang terletak kira-kira 3km dari rumah, cuaca yang cukup panas membahang, saya yang terpaksa berjalan kaki dengan berkaki ayam dalam keadaan berpuasa yang amat mencabar.
Selesai mandi dan solat zohor arwah ibu mengarahkan saya mengisar beras pulut yang telah direndam untuk dijadikan tepung bagi membuat kueh mueh sebagai juadah berbuka puasa. Biasanya kueh seperti ondeh-ondeh , puteri mandi, biji nangka, cendul dan macam-macam lagi.
Kueh yang jarang ditemui pada hari-hari biasa ketika itu. Tetapi kini bermacam-macam kueh dapat kita beli di Bazar Ramadhan.
Boleh dikatakan sepanjang bulan puasa kita dapat menikmati makanan yang enak-enak. Apabila kueh telah siap dimasak oleh ibu, lalu ibu mengarahkan saya membahagi-bahagikan kueh mueh itu kepada jiran tetangga. Dan begitulah sebaliknya jiran tetangga juga kan membalas pemberian kita itu dengan kueh mueh juga. Situasi seperti ini sudah tidakkedapatan lagi dikampong-kampong mahunpun bandar.
Tibanya malam hari saya bersama kawan-kawan akan bermain mercun bersama-sama sebelum solat sunat Terawih bermula. Kami akan berrsolat beramai-ramai kiranya malam itu ada hidangan istimewa selapas selesai solat Terawih. Tetapi kiranya tidak ada juadah yang istimewa maka kanak-kanak seperti saya tidak akan masuk ke madrasah. Ini bermakna kami pergi ke madrasah hanya sekadar untuk makan sahaja.
Tetapi zaman ini sudah berubah, tiada lagi gurau senda bersama rakan taulan kerana masing-masing punyai hala tuju sendiri-sendiri. Namun segala kenangan manis masa silam tetap mekar dihati.
1 comment:
Kenangan lalu memang susah untuk dilupakan ianya sentiasa mengimbau di mata kita terutama kenangan di zaman kanak-kanak.
Post a Comment