SHAH ALAM 30 Dis. - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan memanggil nazir Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong untuk menjelaskan mengenai kelakuan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memakai baju ketat dan tidak menutup aurat semasa melakukan senamrobik di pekarangan tempat ibadat umat Islam itu.
Timbalan Setiausaha MAIS, Abdul Halem Hapiz Salihin berkata, pihaknya juga akan menyiasat mengapa tindakan wakil rakyat daripada DAP itu yang tidak menghormati adab ketika memasuki kawasan masjid tidak ditegur oleh pihak pengurusan masjid.
Sambil melahirkan rasa kesal dengan sikap Nie Ching yang tidak mengambil iktibar daripada teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap kelakuannya sebelum ini, beliau menyifatkan Nie Ching tidak menghormati sultan sebagai ketua agama Islam negeri.
''Sudah beberapa kali dijelaskan yang adab masuk ke masjid serta kawasan sekitarnya perlu memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.
''Tetapi sebagai pemimpin kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di kawasannya, Nie Ching seolah-olah tidak peka dengan adab dan peraturan sedangkan beliau pernah ditegur sebelum ini.
''Perkara yang lebih kita kesalkan mengapa pihak masjid atau orang Islam yang bersamanya ketika itu langsung tidak menegur kelakuan beliau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Nie Ching yang didakwa masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya dengan memakai baju ketat semasa melakukan senamrobik bersama jemaah masjid itu yang dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Abdul Halem Hapiz, tidak salah melakukan aktiviti berfaedah seperti senamrobik di pekarangan masjid tetapi biarlah mematuhi adab seperti memakai pakaian yang sesuai.
Tambah beliau, sepatutnya wakil rakyat itu dinasihatkan memakai pakaian sukan yang lebih sopan seperti berlengan panjang dan menutup kepala serta senamrobik diasingkan antara lelaki dan wanita atau lelaki di hadapan dan wanita di belakang.
Kata beliau, tindakan selanjutnya mengenai perkara itu akan diketahui selepas mendapatkan penjelasan nazir dan melakukan siasatan.
Nie Ching sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi kerana menyampaikan 'tazkirah' di dalam sebuah surau di Kajang Sentral pada Ogos lalu.
Kelakuannya itu menimbulkan kemurkaan Sultan Sharafuddin dan umat Islam di negara ini.
Nie Ching telah memohon maaf kepada baginda di atas perbuatannya itu.