Friday, August 28, 2009

Kemerdekaan Negara Yang Ke 52.


31 Ogos adalah hari ulangtahun kemerdekaan negara kita yang kita cintai. Tahun ini negara kita menyambut ulangtahunnya yang ke 52. Hampir setiap hari media massa baik media elektronik mahupun cetak mewarwarkan sambutan ulangtahun kemerdekaan ini. Pihak kerajaan dan swasta turut bersama mengatur berbagai program bagi memeriahkan sambutan ini. Kempen mengibarkan jalur gemilang diadakan setiap hari dan dibanyak tempat.

Namun apa yang menducitakan saya situasi dibandar Pasir Mas agak berlainan. Jarang kelihatan kibaran jalur gemilang yang pasang oleh pihak berkenaan. Yang ada cuma dideretan kedai sahaja yang terpasang jalur gemilang. Apakah pihak berkenaan khususnya kerajaan tempatan tidak peka dengan perayaan ini? ataupun mungkin tidak mampu untuk melaksanakan lantaran bajet yang tidak mencukupi.

Begitu juga, apa yang saya lihat tidak ada kibaran jalur gemilang yang dipasang pada kenderaan yang lalu lalang, mungkin sikap prihatin dan cintakan negara sendiri tidak ditanam disanubari. Apapun kita harapkan agar semangat cintakan negara serta mengenang jasa para pejuang kemederkaan masa dulu yang telah berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir demi untuk mendaulatkan bumi bertuah ini, ada mengalir dalam darah kita.

Saya hampir menitiskan air mata bila mengingatkan, kini masih ada petualang-petualang bangsa yang sanggup bermaharajalela dibumi sendiri dengan mencetuskan berbagai polemik untuk menganggu gugat keamanan negara nan tercinta ini.

Aduhai anak bangsaku bangunlah dari mimpi usangmu itu dan pencilkanlah segala impianmu untuk memperokperanda tanah pusaka yang bertuah ini! dan bangkitlah bersama-samaku...
kita ancungkan tangan, kita goyang dunia...
pilih wanita yang bisa mengandung sejuta lelaki yang gagah berani
demi mempertahan bumi bertuah ini! malaysia tanah air kita, tinggalan nenek moyang
untuk sama-sama kita jaga dengan penuh rasa sayang dan tanggung jawab demi
keutuhan negara bangsa yang tersohor diseluruh pelusuk dunia!

Merdeka...merdeka... merdeka!


Tuesday, August 25, 2009

Kenangan Zaman Silam

Teringat dimasa zaman kanak-kanak apabila tibanya bulan Ramadhan ianya amat dinanti-nantikan . Bermula masa bersahur, arwah ibu selalu bangun seawal jam 2.00 pagi untuk bertanak nasi. Bunyi bedok dimadrasah dipalu mengikut kiraan jam. Sekiranya waktu jam menunjukkan jam 3.00 pagi maka beduk akan dipalu sebanyak tiga kali. Zaman itu mana ada jam kecuali dikalangan orang yang berada sahaja yang memiliki jam dinding.

Jam 3.00 pagi ibu mengejutkan kami dari tidur yang cukup lena waktu itu.Dikeheningan pagi yang cukup mendinginkan dalam keadaan mata yang masih tertutup saya bangun menuju ke tempayan air untuk membasuh muka. Dan keadaan yang masih mengantuk saya menyuap nasi kerana keterpaksaan sebagai bekalan untuk menahan lapar dan dahaga sepanjang hari esuk kerana berpuasa.

Semasa balik dari sekolah yang terletak kira-kira 3km dari rumah, cuaca yang cukup panas membahang, saya yang terpaksa berjalan kaki dengan berkaki ayam dalam keadaan berpuasa yang amat mencabar.

Selesai mandi dan solat zohor arwah ibu mengarahkan saya mengisar beras pulut yang telah direndam untuk dijadikan tepung bagi membuat kueh mueh sebagai juadah berbuka puasa. Biasanya kueh seperti ondeh-ondeh , puteri mandi, biji nangka, cendul dan macam-macam lagi.
Kueh yang jarang ditemui pada hari-hari biasa ketika itu. Tetapi kini bermacam-macam kueh dapat kita beli di Bazar Ramadhan.

Boleh dikatakan sepanjang bulan puasa kita dapat menikmati makanan yang enak-enak. Apabila kueh telah siap dimasak oleh ibu, lalu ibu mengarahkan saya membahagi-bahagikan kueh mueh itu kepada jiran tetangga. Dan begitulah sebaliknya jiran tetangga juga kan membalas pemberian kita itu dengan kueh mueh juga. Situasi seperti ini sudah tidakkedapatan lagi dikampong-kampong mahunpun bandar.

Tibanya malam hari saya bersama kawan-kawan akan bermain mercun bersama-sama sebelum solat sunat Terawih bermula. Kami akan berrsolat beramai-ramai kiranya malam itu ada hidangan istimewa selapas selesai solat Terawih. Tetapi kiranya tidak ada juadah yang istimewa maka kanak-kanak seperti saya tidak akan masuk ke madrasah. Ini bermakna kami pergi ke madrasah hanya sekadar untuk makan sahaja.

Tetapi zaman ini sudah berubah, tiada lagi gurau senda bersama rakan taulan kerana masing-masing punyai hala tuju sendiri-sendiri. Namun segala kenangan manis masa silam tetap mekar dihati.

Monday, August 17, 2009

Ramadhan Muncul Lagi

Dua, tiga hari lagi seluruh umat islam diserata pelusuk dunia akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan bulan yang menjanjikan banyak rahmat bagi yang mengimarahkannya. Bulan ini banyak menguji umatnya supaya sentiasa berada dilandasan yang dibenarkan oleh agama islam yang maha suci. Bulan yang menuntut supaya umatnya banyak bersabar dan supaya tidak membazir waktu mahupun makanan.

Umat islam dituntut supaya memperbanyakkan amal ibadat dan bersedekah kiranya termampu. Ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT memang banyak.Sama-samalah kita rebut peluang ini yang hanya datang setahun sekali.

Bulan Ramadhan bulan paling banyak melahirkan peniaga-peniaga yang menjual kueh mueh dan lauk pauk. Dan bermacam-macam kueh mueh dan lauk pauk yang jarang kita temui ada dijual dibulan Ramadhan ini. Syabas kepada peniaga dan penjaja namun diharapkan mereka dapat menjaga kebersihan diri dan bahan makanan yang dijual itu.

Kepada semua kenalan dan umat islam selamat menyambut Ramadhan semoga kita semua beroleh keberkatan dari ALLAH SWT.