Saturday, January 10, 2009

Kesengsaraan Penoreh Getah.

Kejatuhan harga getah secara mendadak telah mendatangkan impak yang cukup besar kepada semua penoreh getah di negara kita justeru pendapatan mereka telah amat berkurangan berbanding dengan masa lalu. Ekonomi mereka telah berubah dengan sekelip mata lantaran masalah ekonomi global yang tidak menentu.

Kalau dulu kehidupan mereka mewah, ada yang membeli motorsikal serta kereta baru dan kini saya difahamkan ada diantara mereka yang mana kereta mereka telah diambil semula oleh pihak bank kerana mereka tidak lagi mampu untuk membayar sewa beli kenderaan tersebut.

Kehadiran musim tengkujuh di pantai timur pada masa ini juga turut membantut pendapatan para penoreh getah. Apatah lagi dalam menghadapi musim persekolahan yang baru bermula banyak memerlukan wang. Bagi yang ada menabung mungkin tidak banyak masalah tetapi bagi mereka yang tidak beringat agak sukarlah mereka untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka.

Apapun kami berharap semoga pihak kerajaan dapat mencari jalan terbaik untuk menangani masalah para penoreh getah ini. Mudah-mudahan kehidupan mereka juga makmur dibumi bertuah ini.